Rabu, 15 Februari 2012

Ingatan kuat Tok Pulau Ubi dikagumi


Yusuf sangat kuat ingatannya dan setiap kemusykilan, beliau boleh beri jawapan dengan menerangkan nama kitab serta muka suratnya sekali

SEBELUM merdeka, kebanyakan ulama dan tokoh agama sangat berpengaruh dalam pembentukan sosial masyarakat kerana mereka cukup disegani berikutan peribadi dan ilmunya.

Kelantan yang juga dikenali sebagai Serambi Makkah adalah antara negeri yang melahirkan ramai tokoh agama termasuk Tok Kenali, ulama tersohor yang dianggap antara tujuh wali Allah di Tanah Melayu.

Selain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana ‘angin besar’ yang menyebabkan negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.

Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.

Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.Setelah Mufti Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan Musa.

Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun.

Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya.

Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang datang membuka pondok pengajian di situ.Suasana di situ digambarkan sebagai ‘rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran’. Begitulah Pulau Ubi digambarkan yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Dunia Kedua.

Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti.

Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya sekali.

Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga Lanas.

“Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan suara lantang untuk menasihati.

“Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya.

“Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya, malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya,” katanya.

Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.Katanya, Yusuf sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas.

Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini.

Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid.

Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran.

Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.

“Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan, hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan,” katanya.

Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.

Haji Yusuf bin Abdul Rahman

Haji Yusuf bin Abdul Rahman (1887-1957) atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi ialah ulamak Melayu yang mengembangkan syiar Islam di nusantara. Beliau telah mengarang beberapa buah kitab dalam bidang Tajwid dan Usuluddin.

Kehidupan awal

Haji Yusof bin Abdul Rahman bin Abdul Ghani dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan kepada Che Jamilah, ibunya, pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Pada tahun itu, Angin Besar melanda dan membawa kemiskinan kepada negeri Kelantan kerana banyak ternakan dan tanaman yang musnah; ada di kalangan penduduk Kelantan yang mati kebuluran dan ada yang terpaksa memakan pucuk kelapa atau pucuk pinang dan sebagainya untuk hidup.

Haji Yusof diasuh sebagai anak kesayangan Abdul Rahman. Beliau belajar di bawah Tuan Guru Haji Abdul Malek dan terutamanya dengan bapa sepupunya, Haji Abdul Latif Patani. Haji Yusof kemudian melanjutkan pendidikannya di Patani dan selepas itu, Haji Abdul Latif, bapa sepupunya itu, membawanya ke Makkah untuk menyambungkan pelajarannya kerana ibu bapanya miskin dan tidak dapat membiayainya. Haji Yusof tinggal di Makkah selama sepuluh tahun.

Haji Yusof belajar dengan Tok Wan Ali Kutan dan Haji Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani. Beliau belajar al-Quran dengan Haji Abdullah Senggora. Ketika belajar di Makkah, Haji Yusof telah bersahabat rapat dengan Tok Selehor, Tok Kenali, dan Pak Da Ail.

Tawaran menjadi mufti

Setelah sepuluh tahun belajar dengan sungguh-sungguh, walaupun terpaksa menempuh bermacam-macam kesulitan, perasaan dan peristiwa dengan berkat sabar dan Tabah hati itu beliau telah berjaya menjadi seorang Ulama’. Setelah kembali ke Sungai Pinang beliau telah membuka Pondok dalam kawasan rumah Dato’ Menteri Che Hasan bin Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malek. Beliau mengajar bermacam-macam kitab. Di antara kitab-kitab yang beliau ajar ialah Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada,Fath al-Muin dan lain-lain. Kelebihannya dalam ilmu fiqh dan tauhid. Di antara murid-muridnya di sini ialah Haji Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti dan lain-lain.

Setelah Mufti Haji Wan Musa meletakkan jawatannya pada tahun 1916 M, Dato’ Menteri meminta beliau memegang jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi beliau menolak tawaran itu; namun demikian beliau masih berhubung rapat dengan Menteri tersebut. Oleh hal yang demikian maka jawatan itu diberi kepada Haji wan Muhammad, abang kepada Mufti Haji Wan Musa. Tidak lama kemudian Haji Yusof berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, di mana pada masa itu tidak ada penghuninya, Cuma rumput-rumput yang panjang. Haji Yusof mempunyai hasrat supaya kawasan itu menjadi kawasan yang maju kerana selepas berpindah ke situ, ramailah orang-orang yang datang membuka pondok. Rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang telah mula menjadi bising dengan suara manusia membaca kitab suci al’Quran. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Jepun. Pelajar-pelajar yang datang ke situ dari Patani, Tabal dan terdapat juga dari luar Negeri Kelantan. Pondok dan pengajarannya makin kemuncak setelah Tuan Guru Haji Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan kedua-duanya mengajar berganti-ganti.Walaupun beliau tinggal di Pulau Ubi tetapi Dato’ Menteri masih menghormatinya. Beliau diberi sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan perkampungannya. Perhubungan kedua-duanya sentiasa teguh.

Peribadi

Haji Yusof Pulau Ubi adalah seorang Ulama’ yang sangat kuat ingatan. Apabila satu-satu kemusykilan ditanya kepadanya beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab da muka suratnya sekali. Walaupun ada ramai lagi guru-guru sezaman dengannya disekitar Geting dan Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru-guru itu kerana kematangannya dalam ilmu ugama dan al’Quran.Satu dari kelebihannya bahawa perbuatan-perbuatan maksiat tidak dapat dilakukan dihadapannya. Kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang dikawasannya, gendang akan pecah. Seorang telah cuba mencuri buah kelapa, ketika turun dia nampak ular besar dibatangnya. Sejak berlakunya peristiwa- peristiwa itu orang rasa takut kepadanya. Demikianlah dijelaskan oleh En.Taib Bin Ismail, Kg.Geting(100thn lebih umurnya).Tuan Guru Haji Abdul Hamid menjelaskan bahawa ayahnya sangat gemar membaca al-Quran dimalam-malam hari, suka mentelaah kitab-kitab dan dimalam-malam hari juga beliau mengawal murid-murid dari keluar tak tentu arah. Kerana kemasyhuran namanya sejak ketika berada di Sungai Pinang lagi, maka pepondok beliau telah menjadi tempat perlindungan Cik Yusof anak Tok Kaya Semantan bersama-sama isterinya dan Saadiah, isteri Tok Kaya Semantan Satu daripada sifat Tuan Guru Haji Yusoff Pulau Ubi ialah, berdakwah dengan berpindah tempat. Dari Sungai Pinang ke Pulau Ubi, dan dari Pulau Ubi ke Telaga Lanas. Perpindahan dari kali pertama adalah jauh jaraknya, tetapi perpindahan kali kedua adalah dekat. Tuan Guru Nik Mohammad Bin Abdullah Geting(Pelawat Mubaligh) adalah diantara muridnya yang paling rapat. Perpindahan kali kedua itu adalah atas dorongan beliau dan pertolongannya dari segi tenaga dan material(benda), kerana Pulau Ubi adalah susah perhubungannya sedangkan di Telaga Lanas adalah senang untuk dibuat perhubungan. Satu penyakit yang ada pada Tuan Guru Haji Yusof Pulau Ubi ialah penyakit was-was. Beliau takbir berkali-kali ketika mulai sembahyang ini berlaku ketika umurnya telah lanjut. Tetapi was-wasnya itu tidaklah pula mengganggukannya sangat kerana beliau dapat mengawal dirinya. Haji Yusof Pulau Ubi adalah diantara Ulamak Kelantan yang pernah mengeluarkan pendapat bahawa sembahyang tidak wajib Qada semuanya, tetapi hanya Qada’ yang lima waktu sahaja. Hal ini pernah dibawa kepengetahuan Mufti Haji Ibrahim dan telah dibuat perbincangan dengan Haji Muhammad Nor Mufti Khas ketika itu dirumah Dato’ Perdana Haji Nik Mahmud di Tumpat. Tetapi tidaklah membuat apa-apa tindakan kerana beliau mengetahui peribadi dan pengetahuan Haji Yusof Pulau Ubi itu, kerana keduanya pernah bersahabat baik.

MENINGGAL DUNIA

Tuan Guru Haji Yusof Pulau Ubi telah meninggal dunia pada tahun 1957 dalam usianya 70 thn. Beliau telah berjaya meninggalkan anaknya, Haji Abdul Hamid seorang Ulamak dan selainnya berminat dalam agama.

Anak-anak beliau ialah: 1. Tok Guru Haji Abdul Hamid (meninggal dunia pada 23 September 1978

2. Haji Abdullah (meninggal dunia pada 6 Julai 1977)

3. Muhammad Saud(meninggal dunia)

4. Mariam (meninggal dunia)

5. Zainab (meninggal dunia)

6. Azirah (sekarang menetap di Kg.Telaga Lanas)

Dan yang lain-lain telah meninggal dunia. (Tok Guru Pulau Ubi mempunyai 13 orang anak semuanya tidak termasuk 5 lagi yang keguguran)

Kedudukan nusantara diantara jalan perdagangan tanah Arab dengan negara China merupakan peluang yang membenarkan kawasan nusantara menjadi satu kuasa bertaraf antarabangsa yang dipengaruhi oleh idea dan kebudayaan daripada bangsa Arab, India dan China.

Mereka yang bertaraf ulamak biasanya pernah melanjutkan penggajian ke Semenanjung Arab seperti di Mekah, atau Universiti Al-Azhar. Di sana mereka juga terdedah kepada kebudayaan Parsi, Rom dan Turki sebagaimana yang dapat dikesan dalam sastera golongan istana seperti Hikayat Amir Hamzah, dan juga oleh kebudayaan China seperti mana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, dan Syair Siti Zubaidah.

Pengetahuan ugama dan politik dunia ini menjadikan mereka seseorang yang berpengaruh sekembalinya mereka ke nusantara ketika itu.

Selasa, 14 Februari 2012

Hikayat Orang Yang Melalaikan Solat.



Dizaman dahulu, seorang lelaki menangis kehibaan kerana kematian saudara perempuannya yang dikasihi. Kemudian lelaki itu bersama orang-orang kampung terus menguburkan saudara perempuannya dikawasan perkuburan.

Semasa lelaki itu menimbus mayat saudaranya itu, tanpa disedari pundi-pundi yang berisikan wang dan barang-barang lain terjatuh dalam longgokan tanah.

Tidak ada seorang pun teman-teman lelaki itu melihat yang pundi-pundi berisi wang itu jatuh dan bersatu dengan tanah. Apa yang dirasakan oleh lelaki itu ialah rasa kesedihan dan kehampaan yang memanjang. Maklumlah, dia kehilangan seorang saudara perempuan yang amat disayanginya.

Setelah selesai menguburkan saudara perempuannya, lelaki itu bersama kawan-kawannya terus pulang. Sampai separuh jalan, baru disedarinya pundi-pundi berisi wang miliknya sudah hilang.

"Kamu balik dulu, aku nak ke kubur semula," kata lelaki itu pada kawan-kawannya. Sudah tentu kata-kata itu mengejutkan kawan-kawannya.

"Kenapa?" tanya salah seorang kawannya.

"Pundi-pundi wang aku tercicir di kubur."

"Kalau begitu kata kamu, pergilah. Kami tak dapat bersama-sama kamu," jawab kawannya itu.

"Tak apalah, biar aku uruskan sendiri," balas lelaki itu, lalu meninggalkan kawan-kawannya.

Sampai di kubur lelaki itu terus mengais-ngais tanah disitu. Pundi-pundi beisi wang tidak juga ditemuinya. Lelaki itu mula menggali sebahagian dari tanah kubur. Sedang dia asyik menggali tanah (kubur), tiba-tiba keluarlah api yang menyala-nyala dari dalam kubur. Lelaki itu terkejut dan takut. Tanah kubur itu segera ditimbusnya.

Tubuh lelaki itu mengeletar ketakutan. Dia ingin segera pulang dan mahu menceritakan apa yang dialaminya kepada ibu dan saudara-saudaranya yang lain. Dengan rasa gementar, cemas dan tidak tentu arah, lelaki itu berlari pulang ke rumah.

Sampai saja dirumah, dia terus menceritakan kepada orang tuanya dan saudaranya mengenai kejadian tersebut. Saudara-saudaranya agak terkejut tetapi, ibunya tetap tenang. Lelaki itu pun terus bertanya kepada ibunya:

"Ibu! Cuba terangkan, apakah perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh saudara perempuanku itu semasa hidupnya?"

"Wahai anakku! Amal perbuatan saudara perempuanmu semasa hidupnya, suka melalaikan solat dan kadang-kadang mengakhirkannya sampai habis waktu."

Setelah mendengar penjelasan ibunya, lelaki itu bermuafakat dengan saudara-saudaranya (termasuk ibunya) berdoa kepada Allah supaya dosa saudara perempuannya itu diampuni oleh Allah.

"Dahsyatnya," keluh saya lalu menutup buku lama itu. Saya merenung sejenak dan saya segera berfikir, begitulah kecelakaan atau keburukan yang menimpa terhadap orang-orang yang melalaikan solat. Bagi orang yang meninggalkan solat tentu lebih ganjaran yang diterimanya.

"Sesungguhnya, Allah berkuasa atas segala-galanya, tidak pernah mungkir janji terhadap hambanya," terpancut kata-kata dari mulut dan secara mendadak saya teringatkan sepotong ayat dari Al-Quran yang bermaksud: "TidakKu jadikan manusia dan jin, melainkan semata-mata untuk beribadat kepadaKu." Dan saya merasakan diri saya semakin kecil, bagaikan segumpal buih disamudera nan luas.

Sabtu, 11 Februari 2012

Kelapa Muda dan Serai Ubati Angin Ahmar atau Strok



Penyakit angin ahmar atau strok merupakan suatu penyakit yang merbahaya dan kebiasaannya membawa kepada kematian.
Namun begitu setiap penyakit mempunyai ubat kecuali tua dan mati. Oleh itu di sini diselitkan sedikit petua yang biasa diguna
oleh Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumboh apabila seseorang itu diserang angin ahmar atau strok

  1. Ambil sebiji kelapa muda yang diambil isi dan airnya
  2. Sepotong serai bersama dengan akarnya yang dibasuh bersih
  3. Sebiji asam limau
Cara-cara membuat ubat penawar

  1. Rebuskan air kelapa bersama dengan isinya dan serai tadi dalam periuk sehingga menggelegak
  2. Selepas menggelegak bolehlah ambil asam limau kemudian diperahkan ke dalam periuk tadi
  3. Air itu diminum sehingga habis
  4. Lakukannya sehingga penyakit itu sembuh biasanya dalam masa 3 hari insya Allah

DOA BERLINDUNG PENYAKIT-PENYAKIT BAHAYA SOPAK, GILA DAN STROK

اللَّهُمَّ إِنِّي أعُوذُبِكَ مِنْ البَرَصِ، وَالجُنُونِ، وَالجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّءِ الأَسْقَامِ

Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari penyakit sopak, gila, kusta dan keburukan berbagai penyakit yang lainnya

Rabu, 28 Disember 2011

Ahad, 25 Disember 2011

ALLAH AJARKAN SIAPA AKU


Kita sebenarnya bukanlah jasad ini, kita bukanlah tangan ini, bukan mata ini, fizikal kita hanyalah alat yang diberikan Allah untuk kita melakukan aktiviti memenuhi tugas dan amanah kita di muka bumi ini.

Bayangkan seorang Eksekutif yang baru memulakan tugas, apakah antara kemudahan yang mula-mula diberikan kepadanya? Sebuah komputer bukan? Dengan komputer itu si Eksekutif tadi akan mudah melakukan tugasannya.

Allah juga memberikan komputer ini kepada wakil-Nya untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan. Itulah fizikal kita yang lengkap dengan sistem otaknya yang begitu hebat, sistem perjalanan darah, sistem penghadaman dan berbagai-bagai sistem yang ada di dalam diri kita.

Mana hebat komputer Allah ini berbanding PC kita di pejabat? Tak terbandingnya bukan? Bukan sahaja Allah bekalkan kita dengan sebuah "komputer" yang begitu hebat sistemnya tapi Allah bekalkan juga kita akal fikiran, nafsu dan Ruh yang masing-masingnya punya potensi yang amat luar biasa sekali. Segala yang diberikan Allah ini menjadikan kita makhluk Allah yang paling sempurna dan dengan kesempurnaan itu dibandingkan dengan makhluk-Nya yang lain maka kita dilantik menjadi wakil-Nya di muka bumi ini.

Malangnya selama ini kesedaran ini tidak ada. Kita merasakan diri kita ini adalah fizikal berserta nafsu dan akal. Maka bila kita pandai membuat sesuatu, kita dengan cepatnya merasakan kitalah yang pandai itu. Betulkan?

Saya diberi peluang diajar Allah untuk MERASAKAN diri saya yang sebenarnya. Ketika kita tidur, diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad kita. Badan dan fizikal kita semuanya lemah dan ibarat sebuah komputer yang di off kan suis ke sumber elektrik maka komputer itu tidak mampu menjalankan apa juga aktiviti yang biasanya boleh dijalankan sebelumnya.

Sama dengan fizikal kita, apabila kita tidur, ia hanya sebuah fizikal kosong, tidak mampu melihat, tidak mampu berfikir, tidak mampu berjalan.Benarkan? Diri kita yang sebenarnya tidak ada di dalam jasad itu. Allah ada menerangkan hal ini di dalam Al-Qur'an bahawa Allah mengenggam jiwa kita saat kita tidur dan sekiranya kita diberi umur lagi maka Allah akan mengembalikan jiwa kita dan kita hidup sehari lagi dan begitulah yang berlakunya setiap hari.

Petang semalam saya dan suami tertidur di dalam kereta sementara menantikan appointmentkami dengan seorang sahabat. Kami tertidur kerana terlalu amat keletihan. Badan saya begitu amat lemah dan terus saya tertidur. Lebih kurang dua jam selepas ini, saya sedar tetapi saya tidak dapat bergerak, saya tidak dapat menggerakkan tubuh saya.

Saya sangat sedar ketika itu, ingin sahaja saya panggil suami saya di sebelah agar dapat menggerakkan tubuh saya yang kaku tapi tidak berdaya. Saya sempat berkata di dalam hati saya, adakah tiba masanya saya pulang pada Allah?Saya cuba lagi menggerakkan tubuh saya namun tidak mampu.

Saya katakan pada diri saya ketika itu, siapkan saja untuk menghadap Allah.Saya hampir tidak mahu mencuba lagi dan ingin saja terus menyerahkan diri kepada Allah.Kemudian timbul satu kekuatan untuk terus berusaha kerana di hati masih ingin terus hidup. Maka saya kuatkan sepenuh tenaga untuk menggerakkan tubuh saya dan tiba-tiba saya terjaga.

Sebenarnya saya pernah mengalami keadaan seperti ini. Saya rasa sahabat semua pernah mengalaminya bukan? Kita tersedar dari tidur tapi badan tidak dapat digerakkan.

Macam-macam penjelasan kita pernah dengar, ada yang kata kena himpit dengan hantu, ada yang kata badan letih sangat. Semalam saya mendapat satu paradigma yang baru.

Saya terus menyedari bahawa

Aku yang pada hakikatnya terpisah dari jasad ini, aku yang sebenarnya bukan jasad ini. Alhamdulillah, sudah berapa lama perkara ini terjadi tetapi kita tidak menyedari bahawa Allah memberikan kita pengalaman MERASAKAN diri kita yang sebenarnya.

Terima kasih Allah.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

KISAH ASHABUL UKHDUD


KISAH ASHABUL UKHDUD dari surah Al-Buruj.

Kisah ini sangat penting untuk dijadikan rujukan dan ikutan kepada pemuda-pemudi Islam zaman ini kerana ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana Allah s.w.t, hatta ditaruhkan nyawa sekalipun. Ilmu yang benar akan memimpin kita kepada Allah s.w.t, dan ini lah yang di ajarkan oleh pendeta (ahli Ibadat) sedangkan ilmu yang diajarkan oleh ahli sihir istana adalah bathil semata-mata. Tawaqqal dan berserahnya pemuda itu kepada Allah s.w.t menyebabkan bukan sahaja dia seorang, malah keseluruhan rakyat mendapat hidayah dan beriman kepada Allah s.w.t. . Kita dapat mengikuti kisah pemuda ini tertera dalam Surah Al-Buruj dan diterangkan dengan jelas oleh Nabi kita Muhammad s.a.w dalm hadith baginda seperti berikut ;

Shuhaib bin Simaan Arrmmi ra. mengatakan bahwa Rasulullah saw. bersabda:

Di masa dahulu ada seorang raja (Yahudi) yang mempunyai seorang yang ahli sihir, kemudian ketika ahli sihir telah tua ia berkata kepada raja: "Kini aku telah tua dan mungkin telah dekat ajalku, karena itu anda kirim kepadaku seorang pemuda yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir"
Maka raja berusaha mendapat seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu, sedang di tengah jalan antara tempat ahli sihir dengan rumah pemuda itu ada tempat seorang pendeta (ahli ibadah) yang mengajar agama, maka pada suatu masa pemuda itu singgah di tempat pendeta untuk mendengarkan pengajiannya, maka ia tertarik dengan ajaran pendeta itu sehingga jika ia terlambat datang kepada ahli sihir dia akan dipukul, dan bila terlambat kembali ke rumahnya juga dia dipukul, maka ia mengadu tentang kejadian itu kepada pendeta.
Maka diajar oleh pendeta jika terlambat datang kepada ahli sihir supaya berkata aku ditahan oleh ibuku, dan bila terlambat kembali ke rumah katakan: Aku ditahan oleh ahli sihir.

Maka berjalan beberapa lama kemudian itu, tiba-tiba pada suatu hari ketika ia akan (hendak) pergi, mendadak (tiba-tiba) di tengah jalan ada seekor binatang buas sehingga orang-orang (ramai) tidak berani jalan di tempat itu, maka pemuda itu berkata: "Sekarang aku akan mengetahui yang mana lebih yang lebih baik di sisi Allah apakah ajaran pendeta atau ajaran ahli sihir", lalu ia mengambil sebutir batu dan berdoa "Ya Allah jika ajaran pendita itu lebih baik di sisimu maka bunuhlah binatang itu supaya orang-orang dapat lalu lalang di tempat ini".Lalu dilemparkanlah batu itu, dan langsung terbunuh binatang itu. Dan orang ramai gembira karena telah dapat lalu lintas di jalan itu.

Maka ia langsung memberitakan kejadian itu kepada Rahib (pendita), maka berkatalah Rahib itu kepadanya : "Anda kini telah afdhat (pesan) daripadaku, dan anda akan diuji, maka jika diuji jangan sampai menyebut namaku". Kemudian pemuda itu dapat menyembuhkan orang buta dan sopak dan berbagai macam penyakit yang berat-berat pada semua orang.

Ada seorang pembesar dalam majlis raja dan dia telah buta karena sakit mata, ketika ia mendengar berita bahwa ada seorang pemuda dapat menyembuhkan pelbagai macam penyakit maka ia segera pergi kepada pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak, sambil berkata: "sembuhkan aku, dan aku sanggup memberikan kepadamu apa saja yang anda suka".

Jawab pemuda itu: "Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang pun sedang yang menyembuhkan hanya Allah azza wajalla, jika engkau mahu beriman (percaya) kepada Allah, maka aku akan berdoa semoga Allah menyembuhkan mu".

Maka langsung dia beriman kepada Allah dan didoakan oleh pemuda dan seketika itu juga ia sembuh dengan izin Allah s.w.t.
Kemudian ia kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya, dan ditanya oleh raja
"Hai Fulan siapakah yang menyembuhkan matamu" Jawabnya "Rabbi (Tuhanku)".
Raja bertanya: "Aku?".
Jawabnya "Bukan, tetapi Tuhanku dan Tuhanmu iaitu Allah".
Ditanya oleh Raja "Apakah anda mempunyai Tuhan selain Aku?"
Jawabnya "Ya, Tuhan ku dan Tuhanmu ialah Allah".

Maka disiksa oleh raja seberat-beratnya siksa sehingga terpaksa ia memberitahu raja itu akan pemuda yang mendoakannya untuk sembuh itu.

Maka segera dipanggil pemuda itu lalu berkata "Hai anak sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta dan sopak dan berbagai macam penyakit"

Jawab pemuda itu "Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun, hanya semata-mata Allah azza wa jalla". Raja itu pun bertanya "Adakah aku?", "Tidak" jawab permuda itu. maka tanya raja itu "Adakah engkau ada tuhan lain selain aku?" Jawab pemuda "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu hanya Allah". Maka pemuda itu ditangkap dan disiksa seberat-beratnya sehingga terpaksa dia menunjukkan pada Rahib yang mengajarnya. Maka dipanggil Rahib dan dipaksa untuk meninggalkan agamanya, tetapi Rahib tetap bertahan dan tidak mahu beralih agama, maka diletakkan gergaji di atas kepalanya dan digergaji dari atas kepalanya hingga terbelah dua badannya.

Kemudian kembali pemuda itu diperintah untuk meninggalkan agama yang dianutnya (agama Islam), tetapi pemuda ini juga menolak perintah raja, Maka raja memerintahkan supaya pergi ke puncak gunung dan di sana juga supaya ditawarkan kepadanya untuk meninggalkan agamanya dan mengikuti agama raja, jika tetap menolak supaya dilempar dari atas gunung itu, maka ketika telah sampai di atas gunung dan ditawarkan kepadanya pemuda untuk berubah agama, dan ditolak oleh pemuda itu. Kemudian pemuda itu berdoa "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta: (Ya Allah selesaikanlah urusanku dengan mereka ini dengan aku sehendak-Mu)". Tiba-tiba gunung itu bergoncang sehingga mereka berjatuhan dari atas bukit dan mati semuanya, maka segeralah pemuda itu kembali menemui raja, dan ketika ditanya: "Manakah orang-orang yang membawamu?". Jawabnya: "Allah yang menyelesaikan urusan mereka".

Lalu pemuda itu diperintah untuk membawanya ke laut dan naik perahu, bila telah sampai di tengah laut ditanyakan padanya jika ia mau mengubah agama, jika tidak maka lemparkan ke dalam laut dan ketika telah sampai di tengah laut pemuda itu berdoa: "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta", maka tenggelamlah orang yang membawanya semuanya dan segeralah pemuda kembali menghadap raja. Dan ketika ditanya oleh raja "Bagaimana keadaan orang-orang yang membawamu?" Jawabnya: "Allah yang menyelesaikan mereka".

Kemudian pemuda itu berkata kepada raja "Engkau takkan dapat membunuhku kecuali jika engkau menurut perintahku maka dengan itu engkau akan dapat membunuhku" Raja bertanya: "Apakah perintahmu?" Jawab pemuda: "Kau kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu engkau gantung aku di atas tiang, lalu anda ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah dan membaca: Bismillahi Rabbil ghulaarn (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini), kemudian anda lepaskan anak panah itu, maka dengan itu anda dapat membunuhku". Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu ia mengusap dengan tangannya dan langsung mati, maka semua orang yang hadir berkata: "Aamannaa birrabil ghulaam (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)". Sesudah itu ada orang memberitahu kepada raja bahwa semua rakyat telah beriman kepada Tuhannya pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang banyak ini. Maka raja memerintah supaya di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api, dan tiap orang yang berjalan di sana, dan ditanya lentang agamanya, jika ia telap setia pada kami biarkan, tetapi jika ia tetap percaya kepada Allah masukkanlah ia ke dalam parit api itu.

Maka adanya orang berjejal-jejal (berbaris-baris) dorong mendorong yang masuk di dalam parit api itu, sehingga tiba seorang wanita yang menggandong(membawa) bayinya yang masih menyusu, ketika bayinya diangkat oleh pengikut-pengikut raja untuk dimasukkan kedalam parit berapi itu, wanita itu hampir menurut mereka berganti agama karena sangat belas kasihan pada anaknya yang masih kecil itu, tiba-tiba anak bayi itu berbicara dengan suara lantang: "Sabarlah hai ibuku karena kau sedang mempertahankan yang hak.
(H.R. Ahmad, Muslim dan Annasa'i)

Berkata Ibnu Abbas kisah ini berlaku 70 tahun sebelum Nabi saw.

Semoga pemuda-pemudi Islam kita akan mengambil iktibar dan pedoman dari kisah yang hebat ini.

Khamis, 22 Disember 2011

Ridha Allah, Ridha Ibubapa

Ridha Allah, Ridha Ibubapa

 perintah untuk mengasihi, mentaati, berbakti dan beradab kepada ibubapa banyak disentuh didalam al-Quran dan hadits. Insyaallah kita akan kongsi bersama beberapa ayat dan hadits semoga ianya menjadi titik tolak kita untuk kita lebih menyayangi ibubapa kita, berbakti dan berkhidmat kepada mereka, mengenang akan segala jasa mereka, penat jerih mereka ketika membesarkan kita. Apatah lagi bagi kita yang mempunyai ibuayah yang kini sudah berada dipenghujung usia, entah bila akan dijemput kembali padaNYA, hanya tinggal sekelumit masa lagi yang ada untuk kita berbakti melayani dan berkhidmat kepada mereka ....... rebutlah peluang yang sedikit ini agar kita tidak menyesal dikemudian hari.


Allah Ta’ala berfirman:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُوۤاْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً

Maksudnya:Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak mengabdikan diri melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra’:23)


وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

Maksudnya: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (al-Isra’:24)

FirmanNya lagi

وَٱعْبُدُواْ ٱللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً وَبِٱلْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً وَبِذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَامَىٰ وَٱلْمَسَاكِينِ وَٱلْجَارِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلجَنْبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالاً فَخُوراً

Maksudnya:Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri; (An-Nisa’:36)

FirmanNya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْناً عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

FirmanNya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْناً وَإِن جَاهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَآ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (al-Ankabut:8)

FirmanNya lagi

وَوَصَّيْنَا ٱلإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَاناً حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهاً وَوَضَعَتْهُ كُرْهاً وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلاَثُونَ شَهْراً حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِيۤ أَنْ أَشكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِيۤ أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِيۤ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (al-Ahqaf:15)

Rasulullah صلى الله عله وسلم bersabda:

عن عبدالله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما عن النبي قال: رضا الرب في رضا الوالدين، وسخط الرب في سخط الوالدين ( رواه الترمذي وصححه إبن حبان والحاكم)

Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash رضي الله عنهما, dari Nabi صلى الله عليه وسلم , baginda bersabda: Keredhaan Allah (tergantung kepada) keredhaan kedua ibubapa, dan kemurkaan Allah (tergantung pada) kemurkaan kedua ibubapa (Hadits riwayat at-Tirmidzi, dan dishahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim)

عن عبدالله بن مسعود رضي الله عنه قال : سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أي العمل أحب إلى الله؟ قال : الصلاة على وقتها ،قال : ثم أي؟ قال: ثم بر الوالدين، قال: ثم أي؟ قال: الجهاد في سبيل الله - .البخاري

Daripada Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه , beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم apakah amal yang disukai Allah? Baginda menjawab: Shalat pada waktunya. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Berbuat baik kepada kedua ibubapa. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad pada jalan Allah (Hadits riwayat al-Bukhari)

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول الله من أحق الناس بحسن صحابتي ؟ قال : أمك ، قال ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : أمك ، قال : ثم من ؟ قال : ثم أبوك " . رواه البخاري 5626 ومسلم 2548 ).

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه , beliau berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah selayaknya mendapat persahabatan yang lebih baik dari saya? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Setelah itu siapa? Rasulullah menjawab: Kemudian ayahmu. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

أخرج السيوطي بسند صحيح عن عائشة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : .... وأعظم الناس حقا على الرجل أمه".

Dikeluarkan oleh Imam as-Sayuthi dengan sanad yang shahih daripada A’isyah رضي الله عنها bahwasanya Nabi صلى الله عليه وسلمbersabda: “…. Dan orang yang mempunyai sebesar-besar hak atas seorang (anak) itu ialah ibunya.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani, Rasuluullah صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): “Berbaktilah kamu semua kepada ibubapamu agar supaya (kelak) berbaktilah kepadamu semua anak-anakmu ……”

Abul Hasan al-Mawardi meriwayatkan sepotong hadits, maksudnya: Sesungguhnya telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu berkata: “Sesungguhnya aku mempunyai seorang ibu (yg sudah tua), yang saya dukung dibelakangku, saya tidak pernah bermasam muka kepadanya, saya berikan hasil pencarian saya kepadanya. Sudahkah saya membalas budinya? Rasulullah menjawab: Tidak! Walaupun satu tarikan nafas panjangnya. Lelaki itu bertanya lagi: Mengapa demikian? Rasulullah menjawab: Kerana (dahulu) ibumu memeliharamu dengan harapan engkau hidup (panjang umar), manakala engkau memelihara ibumu padahal engkau ingin ia (segera) mati”

Dalam sepotong hadits yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin ‘Ujrah رضي الله عنه , beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Datanglah kalian ke mimbar. Kemudian kami datang. Maka apabila baginda naik tangga pertama, baginda berkata آمين lalu apabila baginda menaiki tangga kedua, baginda juga berkata آمين , bila baginda melangkah ketangga ketiga, baginda berkata: آمين . Maka apabila baginda turun dari mimbar, kami berkata: Wahai Rasulullah, sungguh hari ini kami telah mendengar dari engkau sesuatu yang belum pernah kami dengar. Baginda bersabda: Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata: Celakalah orang yang membiarkan bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja sehingga dia tidak diampuni. Aku berkata: آمين. Lalu ketika akau naik ketangga kedua dia berkata: Celakalah orang yang mendengar namamu, tetapi dia tidak bershalawat keatasmu. Aku berkata: آمين. Bila aku melangkah naik ketangga ketiga, Jibril berkata: Celakalah orang yang mempunyai kedua ibubapa yang telah tua keduanya atau salah seorang diantara keduanya, namun mereka tidak dapat memasukkannya ke syurga (yakni gagal untuk melayani dan berkhidmat kepada mereka, yang mana ianya membolehkan seseorang mendapat syurga). Aku berkata: آمين. (Hadits riwayat: al-Hakim, Ibn Hibban, ath-Thabrani dan al-Baihaqi)

Tersebut didalam hadits yang shohih bahwasanya mendurhakai ibubapa itu termasuk didalam akbarul kabaair (sebesar-besar dosa dari dosa besar).

Sekian. Kuakhiri dengan doa

رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيراً

وماتوفيقي إلابالله عليه توكلت وإليه انيب


Nabi Idris a.s

Nabi Idris adalah keturunan keenam daripada nabi Adam. Nama baginda ialah Idris bin Mahlail bin Qinan bin Anusy bin Syits bin Adam dan na...