Nabi Idris adalah keturunan keenam daripada nabi Adam. Nama baginda ialah Idris bin Mahlail bin Qinan bin Anusy bin Syits bin Adam dan nama sebenarnya ialah Khanaukh. Nabi Idris adalah keturunan nabi Adam yang pertama dilantik menjadi nabi selepas Adam a.s dan Syits a.s. Baginda juga merupakan moyang kepada nabi Nuh a.s. Allah telah menyebut Idris sebagai Nabi dan orang yang benar di dalam surah Maryam ayat 56-57.
“Ceritakanlah (kepada mereka, wahai Muhammad! (kisah)) Idris di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah orang yang benar(shiddiq) dan seorang nabi. Kami telah mengangkat (darjatnya) ke tingkatan yang tinggi.”
Semasa kanak-kanak, Idris telah belajar daripada Syits dan baginda telah mendapat banyak ilmu. Setelah dewasa, Allah telah melantik Idris menjadi nabi dan memberikan baginda sebanyak 30 kitab. Setelah menjadi nabi, Idris telah menyeru pengikutnya menyembah Allah dan berbuat kebaikan.
Nabi Idris adalah orang yang pertama menulis menggunakan pen dan memakai baju yang berjahit.Nabi Idris juga memiliki kepakaran menunggang kuda, mengira, ilmu bintang, menggunting dan menjahit pakaian. Baginda juga adalah seorang yang sangat berani dan gagah dalam melaksanakan dakwah dan menentang kejahatan sehingga digelar Asadul Asad iaitu Singa dari segala Singa.
Sepanjang nabi Idris berdakwah, baginda hanya mempunyai pengikut yang sedikit. Ramai orang yang menentang nabi Idris sehingga baginda terpaksa melarikan diri dan meninggalkan Mesir.
Allah telah menurunkan wahyu kepada baginda dan memberitahunya bahawa Allah mengangkat darjat nabi Idris seperti seluruh amalan anak Adam. Salah satu malaikat pilihan Allah datang menemui Nabi Idris dan mengajak baginda berbincang sehingga amalan nabi Idris bertambah. Kemudian, malaikat tersebut membawa nabi Idris di antara kedua sayapnya naik ke langit. Apabila sampai ke langit keempat, mereka bertemu dengan Izrail. Izrail bertanya di mana nabi Idris. Malaikat yang membawa nabi Idris memberitahu bahawa Idris ada di belakangnya. Kemudian, Izrail memberitahu bahawa nyawa nabi Idris harus dicabut di langit yang keempat dan Izrail terus mencabut roh nabi Idris.
Begitulah kisah nabi Idris yang telah Allah muliakan di dalam firmanNya, “Ingatlah kisah Ismail, Idris dan Zulkifli. Masing-masing tergolong orang yang sabar.”(Al-Anbiya’:85)
Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi.Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57 dan dalam surah Anbiya ayat 85 dan 86: "Dan ceritakanlah { hai Muhammad kepada mereka , kisah } Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 - Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." { Maryam : 56 - 57 } "Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar. Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh." { Anbiya : 85 - 86 }
Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam a.s. putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith. Menurut Ibnu Kathir dalam Qhisasul Anbiya' mengatakan bahawa Nabi Idris a.s sempat bertemu dengan Nabi Adam. Ini menggambarkan bahawa enam generasi dapat bertemu diantara satu sama lain.[1]
Nabi Idris dianugerahkan kepandaian di dalam pelbagai disiplin ilmu kemahiran serta mencipta peralatan yang digunakan manusia sekarang ini seperti penulisan, matematik, astronomi, dan lain-lain lagi. Menurut sebuah kisah, terdapat satu masa di mana kebanyakan manusia telah melupakan tuhan, dan bumi telah dihukum dengan kemarau. Walaubagaimanapun, Nabi Idris a.s. telah berdoa ke hadrat Allah s.w.t. dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan.
Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim di Mesir di mana ia berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.
Menurut sebuah buku The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris ialah nama Arab bagi Enoch. Beliau dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. sehingga beliau diangkat ke langit.
Satu kepercayaan yang tidak dipastikan kesahihannya mengatakan bahawa piramid telah dibina sebagai merujuk kepada Nabi Idris a.s., kerana di kawasan itulah di mana beliau diangkat ke langit.
Nasihat Dan Pengajaran
Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah : ~
1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kepada kemenangan.
2. Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat daripada Tuhannya dengan amal-amal solehnya.
3. Apabila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.
4. Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.
5. Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan pujian kepada Allah.
6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang bernasib baik , kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati nasib baiknya.
7. Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.
8. Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.
Firman Allah bahawa Nabi Idris diangkat martabatnya. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh seorang Malaikat Wallahu a'alam bissawab.