Jumaat, 25 Mac 2011

Teka-teki Imam Ghazali




Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya (Teka Teki ) :

Imam Ghazali = " Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 = " Orang tua "
Murid 2 = " Guru "
Murid 3 = " Teman "
Murid 4 = " Kaum kerabat "
Imam Ghazali = " Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI . Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = " Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?"
Murid 1 = " Negeri Cina "
Murid 2 = " Bulan "
Murid 3 = " Matahari "
Murid 4 = " Bintang-bintang "
Iman Ghazali = " Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU . Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama".

Iman Ghazali = " Apa yang paling besar didunia ini ?"
Murid 1 = " Gunung "
Murid 2 = " Matahari "
Murid 3 = " Bumi "
Imam Ghazali = " Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka."

IMAM GHAZALI" Apa yang paling berat didunia? "
Murid 1 = " Baja "
Murid 2 = " Besi "
Murid 3 = " Gajah "
Imam Ghazali = " Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah."

Imam Ghazali = " Apa yang paling ringan di dunia ini ?"
Murid 1 = " Kapas"
Murid 2 = " Angin "
Murid 3 = " Debu "
Murid 4 = " Daun-daun"
Imam Ghazali = " Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT . Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat "

Imam Ghazali = " Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? "
Murid- Murid dengan serentak menjawab = " Pedang "
Imam Ghazali = " Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri "

Doa elak dicabul atau dirogol.

Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah . Iaitu :-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA’ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI’UL ‘ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : “Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui” sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya” ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan – Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA’LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA ‘ALA ZAWJI FALA TUSALLIT ‘ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim” ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Tok Selehong berdakwah lewat puisi.


TOK Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari Rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M, wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi yang belum dibicarakan dalam artikel ini.



Tok Selehor memulai jihad keilmuannya belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik, Sungai Pinang Kelantan. Kemudian memondok di Patani selama tujuh tahun, belajar kepada Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdulah di Tok Jum. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Di antara gurunya ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M.

TOK SELEHOR DAN KITAB HIKAM

Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab al-Hikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'. Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, ``tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah''.

Sanad

Jika kita jejak sanad pengajian Kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok

Selehor, ialah Tok Selehor merupakan yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapat diperhatikan sanad sebagai berikut:

1. Tok Selehor, Kelantan, belajar kepada (2)

2. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3)

3. Saiyid Abi Bakri Syatha, belajar kepada (4)

4. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada(5)

5. Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6)

6. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab yang dibicarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada (7)

7. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8)

8. Syeikh `Id an-Namrisi, belajar kepada (9)

9. Syeikh `Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10)

10. Syeikh Muhammad bin `Ala' al-Babli, belajar kepada (11)

11. Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12)

12. Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13)

13. Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14)

14. Saiyid al-'Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15)

15. Syeikh at-Taju `Abdul Wahhab bin `Ali bin `Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16)

16. Syeikh at-Taqiy `Ali bin `Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17)

17. Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim bin Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari, iaitu pengarang Kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini. Ulama yang aktif beramal dengan Thariqat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul `Arus fil Washaya wal Mawa'izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan, dan lain-lain. Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari, ulama besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Kaherah, tahun 709 H/1309 M.

Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas.

Tasawuf

Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di seluruh dunia Melayu, termasuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul Abidin dan Ihya' Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni) pada sanad Kitab al- Hikam adalah sama, tetapi untuk sampai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8)

8. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9)

9. Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10)

10. Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11)

11. Syeikh Abi Ishaq at-Tanukhi, belajar kepada (13)

13. At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (14)

14. Syeikh `Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (15)

15. Syeikh al-Hafiz Abi al-Faraj `Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (16)

16. Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali saja. Sebagaimana yang tertulis dalam sanad yang tersebut di atas jelaslah bahawa ulama dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu.

BERZANJI DAN BURDAH

Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.''

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain.

Lima

Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46.

Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.

Rabu, 23 Mac 2011

Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah



Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama
bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai
cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung
di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah
beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang
terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang
telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini
mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya
mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:

1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan
yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak
memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam
ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling
perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah
mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak
berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa.
Firman Allah s.w.t:

MaksudNya : Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya
rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah
dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa
yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)

2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Mada Mulia tidaklah
mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana
mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu
mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat
memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci
melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu dari Allah
s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:

MaksudNya : Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?
Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka
(dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam,
lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai
Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan
Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan
mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat
kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan
kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir dari kalangan Rasulrasul
yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan
kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan.

Firman Allah s.w.t:

MaksudNya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang
Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu
menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima
seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang
berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian
lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasulrasulnya.
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah
mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri
menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan
diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

MaksudNya : Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka
memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi
rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai
Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat
kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi
derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:

MaksudNya :
"....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka."(Surah Al-Syura 42:
Ayat 7)

6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan
dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun
demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan
dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula
tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam
batasan keizinan dan kehendakNya. Firman Allah s.w.t:

MaksudNya :
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk
mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya
kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang
sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan
sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu
susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah al-
Syams 91: Ayat 7-10)

Dan firman Allah s.w.t;

MaksudNya :
Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat)
yang dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).

7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang
itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia
mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah
ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum
dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Firman Allah
s.w.t:

MaksudNya :
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua
perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya
terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku;
kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam
segala keadaan). (Surah Al-Syura 42: Ayat 10)

8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang
layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w
telah bersabda:

MaksudNya :
"Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus.
Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal)
dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah,
bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati
perintah Rasulullah s.a.w:

MaksudNya :
"Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu
memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan
sebenarnya."
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-
Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci
Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan
ketuhana(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran
membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada),
sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada
yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang
menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya dari
segala makhlukNya dan makhluk berhajat berhajat kepada
kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan
keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya,
kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu.
Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi
segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan
kesempurnaan.

Selain dari sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang
menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak
tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat
sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian
kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya sendiri.

11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah
lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan
tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran,
yakni membiarkan sebahagian dari sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran
dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah
s.w.t.

Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah
ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar
dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai
timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau
mahupun masa kini.

12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak
menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut
seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan
diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk kepada sesuatu
selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah s.w.t:

MaksudNya :
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang
Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu
menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang
lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi
kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.
Allah s.w.t menjelaskan:

MaksudNya :
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah
Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah
orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah Al-nur 24: Ayat 52)

Firman Allah s.w.t seterusnya:

MaksudNya :
Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa
mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka
beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)

14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya
untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan
apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa
dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman
ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang
sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar peringatan
Allah yang menyatakan:

MaksudNya :
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
"zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati
manusia.(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

FirmanNya lagi:

MaksudNya :
Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan
oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang
menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang
tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap
menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa
mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (Surah Al-Zukhruf 43:
Ayat 36-37).

Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan
"sesungguhnya orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia
tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr.
Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para doktor penyakit jiwa
menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh
terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk
menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit
saraf dan lain-lain.

15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang
menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya.
Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan,
berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup
dalam kemewahan dan keseronokan dunia serta kecintaan terhadap
kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari
mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang
mengingatkan:

MaksudNya :
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan
saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum
keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu
bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika
semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah
dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah
sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak
akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka) (Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Pengorbanan demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai
kelazatan dan kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang
mulia s.a.w:

MaksudNya :
"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai
kemanisan iman:

a. Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang
lain.
b. Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
c. Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci
untuk memasuki api neraka.

16. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan
dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang
membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya
yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah.

Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:

MaksudNya :
"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya
(untuk menolong dan menyelamatkannya). (Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)
Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam
sebuah hadisnya:

MaksudNya :
"Peliharatitah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang
masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu.
Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila
kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah.
Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat
untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah
Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan
engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya
melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu,
kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan
kesemuanya)." (Hadith diriwayatkan oleh At-Tirmizi berkata: Ini hadith Hasan Sahih)

17. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang
merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya.
Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima
terhadap pemberi dan pengurnia. Allah menyatakan:

MaksudNya :
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak
mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)

Seterusnya Allah berfirman:

MaksudNya :
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan
kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya
biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di
bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa
mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?. (Surah
Yasin 36: Ayat 33-35)

Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orangorang
yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap
golongan yang ingkar. Firman Allah:

MaksudNya :
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.
(Surah Ibrahim 14: Ayat 7)

18. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah,
istighfar itu dapat membersihkan diri dari dosa di samping
memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan
kerehatan dan keheningan kepada jiwa.
Allah berfirman:

MaksudNya :
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan
melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia
akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-
Nisa' 4: Ayat 110)

Firman Allah seterusnya:

MaksudNya :
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya
diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa
mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan
Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah
lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
(Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)

19. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di
bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun
tersembunyi kerana mengingatkan firman Allah:

MaksudNya :
Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan
tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada
yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada
bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan
memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-
Mujadalah 58: 7)

Selasa, 22 Mac 2011

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu.

Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.

Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.

Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah. Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith. Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai "al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi" yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau. Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.

Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu "Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)".

Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti

Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.

Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.

al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.

Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.

Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949

Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950

Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952

Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953

Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers

Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.

Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961), Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).

Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, "kalau menangis pun bukan nak lega". Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah.

Rujukan utama

http://www.niknasri.com/?p=1378

. Dicapai pada 19 Oktober 2010

http://pondoktauhid.blogspot.com/2010/04/sheikh-qadir-mandili.html

. Dicapai pada 19 Oktober 2010

http://allangkati.blogspot.com/2010/09/syeikh-abdul-qadir-bin-tolib.html

. Dicapai pada 19 Oktober 2010

http://ikantongkol09-tokoh.blogspot.com/2010/10/syeikh-abdul-qadir-al-mandili-guru-di.html

Nabi Idris a.s

Nabi Idris adalah keturunan keenam daripada nabi Adam. Nama baginda ialah Idris bin Mahlail bin Qinan bin Anusy bin Syits bin Adam dan na...