Ahad, 27 November 2011

TUKKU PALOH MEMERANGI JENAYAH AQIDAH DI TERENGGANU.

     
SAYYID Abd. al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh merupakan tokoh ulama dan umarak yang terkenal di Terengganu sekitar hujung kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20.



Tukku Paloh yang dilahirkan pada 1817 disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap perkembangan politik, semangat patriotisme, keilmuan serta pelaksanaan hukum-hukum Islam di negeri tersebut.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 1918 juga amat disegani ramai hingga kini lantaran kesungguhannya melaksanakan hukum-hukum Islam.

Kesungguhan nasab ke-32 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. ini dalam melaksanakan hukum Islam di Terengganu dapat dilihat menerusi sebuah kitab tulisannya yang berjudul Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi iq al-Irfan.

Kitab itu antara lain memperlihatkan sikap Tukku Paloh yang cukup serius terutamanya dalam memerangi jenayah aqidah yang berleluasa berlaku ketika di zamannya itu.
Sebagai contohnya, beliau menekankan tentang bahaya amalan masyarakat ketika itu yang mengamalkan main peteri iaitu suatu upacara mengubati pesakit melalui perubatan tradisional.

Menurut beliau dalam kitab itu, main peteri atau main bageh mempunyai unsur-unsur kurafat yang menggaitkan hantu dalam mengubati sesuatu penyakit telah membelenggu aqidah masyarakat di sana sejak sekian lama.

Banyak mazhab sesat dan penyelewengan aqidah yang didedahkan oleh Tukku Paloh menerusi kitab itu di mana ia menggambarkan senario yang berlaku di Terengganu pada ketika itu.
Rafidiyah, Kharijiah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah merupakan enam mazhab sesat yang mendapat tumpuan beliau menerusi kitab tersebut.

Mazhab-mazhab itu merupakan asas kepada kelompok-kelompok lain yang berpecah daripada aqidah yang sama di mana setiap satunya berpecah kepada 12 kumpulan.
Natijahnya, jumlah semua kumpulan itu menjadi 72 kumpulan. Ia sebenarnya berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Demi Tuhan yang menguasai jiwa Muhammad akan berfirqah (berpecah) umatku sebanyak 73 firqah. Satu firqah masuk ke dalam syurga dan 72 firqah masuk ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Firqah yang masuk ke dalam syurga itu ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah” – Riwayat al-Tabrani.

Peranan Tukku Paloh itu bukan setakat banyak membantu mengubah senario kefahaman agama dalam masyarakat tetapi ia turut terus menjadi bahan kajian ramai sarjana hingga ke saat ini.

Antaranya pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UM), Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Tukku Paloh : Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah Di Terengganu.

Ia dibentangkan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 Siri Ke-14 yang dipengerusikan oleh Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham.

Sumbangan

     Kertas kerja itu merupakan sebahagian daripada tesis doktor falsafah beliau yang memfokuskan tentang sumbangan Tukku Paloh dalam membetulkan aqidah umat Islam ketika itu.
Jelas Mohd. Taufik, tokoh terbilang itu misalnya, melaksanakan hukum Islam ketika dilantik oleh Sultan Zainal Abidin III mentadbir daerah Sungai Nerus di Terengganu.

“Daripada kajian yang saya jalankan tentang Tukku Paloh, saya difahamkan beliau seorang pentadbir yang serius dalam menjalankan hukum Islam secara menyeluruh di daerah tadbirannya itu.

“Ketika zaman Tukku Paloh, ada bukti yang menunjukkan hukuman seperti potong tangan kerana kesalahan mencuri telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja tersebut di UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tukku Paloh bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukum-hukum Islam terutamanya dalam membetulkan aqidah umat Islam yang boleh dianggap perkara tunjang yang patut diberi perhatian utama.

Apatah lagi, katanya Allahyarham merupakan salah seorang penasihat utama Sultan Zainal Abidin III yang menasihati baginda dalam hal-hal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
Senario itu memberi kelebihan kepada Tukku Paloh berdasarkan kebolehannya yang luas dalam bidang keilmuan Islam, apatah lagi ketika itu institusi ulama banyak mencorakkan sistem pemerintahan kerajaan di sana.

Sebagai contohnya, Tukku Paloh pernah diberi peranan menyusun dan seterusnya mewujudkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan di negeri itu.

Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqa iq al-Irfan atau maksudnya Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Ia Bagi Orang Yang Naik Ia Kepada Martabat Segala Hakikat Makrifat itu merupakan kitab yang dikaji oleh Mohd. Taufik sejak 2006.

Kitab yang ditulis pada 1900 itu kini hanya boleh didapati dalam bentuk salinan di mana versi pertamanya didapati daripada cucu Tukku Paloh iaitu Tukku Paloh Tuan Baru pada 2004.
Sesuai dengan budaya setempat, terdapat unsur bahasa dialek Terengganu yang tercatat dalam perkataan-perkataan dan ayat-ayat dalam kitab ini.

Misalnya, perkataan lipah yang bermaksud lipas, setuh (sentuh), papang (papan), pihok (pihak), kasu (kasut), kerijakan (kerjakan), anok (anak), mekapuskan (menghapuskan) dan sebagainya.
Berdasarkan contoh tersebut ia menjelaskan lagi tentang pengaruh dialek Terengganu. Pada umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu diakhiri dengan sebutan ‘n’ tetapi dalam sebutan Terengganu ia diakhiri dengan sebutan ‘ng’. Contohnya, ‘makan’ tetapi ia bertukar menjadi ‘makang’.

Selain memerangi penyelewengan aqidah yang boleh dianggap sebagai jenayah, Tukku Paloh juga merupakan antara tokoh Melayu yang banyak mencetuskan semangat patriotisme bagi menentang penjajahan British.

Disebabkan tahap keilmuan yang tinggi, ditambah dengan sifatnya yang warak, nama Tukku Paloh turut menjadi sebutan ramai pada zamannya.
Tokoh yang pernah menuntut ilmu sekitar 10 tahun di Mekah ini dikatakan juga seorang pengamal tasawwuf yang tinggi serta dikenali sebagai pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah.

Gelaran

Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelar beliau dengan gelaran Engku Sayyid Keramat kerana banyak peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku ketika hidupnya.

“Antaranya pernah diceritakan orang seorang wakil British tidak dapat bangun daripada duduknya ketika berdepan dengan Tukku Paloh. Dia menjadi tergamam dan seperti tidak tahu hendak buat apa apabila berdepan dengan Tukku Paloh. Itu antara kekeramatan Allahyarham yang pernah diceritakan orang.

“Perkara itu tidak menghairankan kerana ia sudah banyak berlaku ke atas orang yang berilmu dan warak seperti Tukku Paloh. Mungkin itu kelebihan yang Allah berikan kepada beliau,” ujar Mohd. Taufik.
Dalam pada itu, beliau bukan sahaja mengkagumi isi kandungan kitab-kitab karangan Tukku Paloh tetapi turut mengkaji tentang keperibadian tokoh yang disegani ramai itu.

Malah, Mohd. Taufik mencadangkan agar usaha-usaha tertentu dilakukan bagi mengetengahkan lagi watak Tukku Paloh untuk dihayati serta diteladani oleh generasi muda hari ini.

“Banyak perkara yang boleh kita pelajari misalnya, kesungguhan Tukku Paloh dalam usaha mencari ilmu dan mengamalkan apa yang beliau pelajari. Sifat keperwiraan yang ada pada diri Tukku Paloh juga patut dihayati supaya ia menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.

“Kalau selama ini kita mudah mengangkat tokoh-tokoh luar dalam filem, drama atau komik, mengapa tiada usaha dilakukan untuk menterjemahkan perjuangan Tukku Paloh dalam konteks kehidupan kita pada hari ini?” soalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nabi Idris a.s

Nabi Idris adalah keturunan keenam daripada nabi Adam. Nama baginda ialah Idris bin Mahlail bin Qinan bin Anusy bin Syits bin Adam dan na...